Perniagaan Internet Halal atau Haram?

( Interview yang disiarkan di Majalah i keluaran oktober 2006)

 

Oleh ZALMIMAZURA ZAHARI

Foto MOHD NORARIFIN TAJUDDIN

 

Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan pelbagai jenis pelaburan yang beroperasi melalui internet seperti Forex dan SwissCash dan bentuk pelaburan ini cuba untuk mengaburi pelabur-pelabur supaya tertarik dengan tawaran plan pelaburan tanpa had dan jaminan keuntungan yang lebih banyak. Malah  terdapat pelaburan jenis ini yang beroperasi secara haram dan tidak pernah berminat untuk meneliti operasi mereka dengan majlis penasihat syariah yang ahli dalam bidang fiqh muamalat (ini kerana tidak semua ilmuan Islam mampu menjawab isu fiqh Muamalat dan kewangan moden), ini menyebabkan operasi mereka kerap melanggar displin syariah.

      Untuk mengupas isu ini dengan lebih lanjut, penulis telah berkesempatan untuk menemuramah Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, Ketua Jabatan Shariah, Qatar Islamic Bank Malaysia (yang baru beroperasi di Malaysia dengan nama “Asian Finance Bank Berhad”) bagi membincangkan dari sudut hukum dan garis panduan dalam melakukan pelaburan secara halal. Zaharuddin yang sememangnya pakar dalam bidang kewangan dan pelaburan Islam tidak menafikan bahawa ramai masyarakat mudah terpedaya dengan pelaburan jenis ini kerana tidak begitu memahami selok belok ilmu Islam dalam hal kewangan dan pelaburan seperti riba dan syarat-syarat yang perlu di kenakan dalam sesuatu pelaburan.

      Menurut Zaharuddin, sesetengah badan pelaburan seperti SwissCash, didapati memberikan jaminan pulangan (untung) yang tinggi dan jaminan modal selamat, ini jelasnya bercanggah dengan konsep pelaburan Islam di bawah konsep samada ‘Mudarabah’ dan ‘Musyarakah’, kerana Islam tidak membenarkan jaminan penawaran pulangan dan sekiranya  ia berlaku, ini bermakna ia sudah termasuk di dalam bab “qard’ atau pinjaman dengan janji fadeah atau bunga yang merupakan riba, tatkala itu ia bukan lagi sebuah pelaburan. Dalam Islam pelaburan terbuka kepada konsep untung dan rugi, malah pelabur akan berhadapan dengan risiko sama ada mendapat untung atau rugi.

      “Dalam Islam untuk mendapatkan duit, atau pulangan dalam pelaburan, unsur risiko pasti ada, sesuai dengan kaedah “al-Gurm bi al-Ghunmu” iaitu keuntungan adalah dengan tanggungan risiko”.

      “Pelaburan yang dibuat oleh SwissCash misalnya, dan mana-mana jenis pelaburan yang lain yang dijalankan oleh institusi konvensional pastinya berbuat demikian, maka ia tidak dibenarkan. Satu hal lagi adalah, saya tidak katakana semua FOREX adalah haram, tidak dinafikan memang ada perniagaan Forex yang benarkan (iaitu FOREX yang di buat secara ‘on the spot’ dan menggunakan ‘value spot’ dan ‘value tom’ ) ia menepati lunas-lunas yang ditentukan Shariah,  bagaimanapun apa yang saya nak sebut adalah swiss cash pastinya tak terhad kepada yang boleh ini sahaja; justeru ilmu dan keperihatinan individu dalam hal ini adalah amat perlu sebelum menyertai sesuatu jenis pelaburan dan perniagaan forex. Umar al-Khattab pernah menyebut “Tinggalkanlah yang ragu dan riba” ”  jelasnya.

      Tambahnya lagi, adalah amat dikehendaki bagi mereka yang hendak membuat pelaburan forex perlu terlebih dahulu memahami konsep riba dan pembahagiannya atau merujuk kepada individu yang mengetahuinya dengan jelas. Secara umumnya Riba yang tergolong dalam dua jenis yang besar iaitu pertama riba yang terhasil daripada pinjam atau Riba Duyun namanya, dan riba yang terhasil daripada tranksaksi jual beli iaitu Riba Buyu’. Jika ditinjau bab forex ini, tanpa ketelitian ia boleh termasuk dalam Riba jenis kedua iaitu Riba jual beli, selain itu unsur gharar (ketidaktentuan) dan perlanggaran syarat sesebuah kontrak dalam Islam juga boleh berlaku. Secara ringkas jenis riba dan displin yang ditetapkan syara adalah seperti berikut :-

 

Jenis

 

Jenis Matawang

 

 

Jenis

Makanan Asasi

 

 

 

Rajah : Menunjukkan Displin Islam Dalam Hal Item Ribawi

 

Dari gambar di atas Riba yang boleh terhasil dari transaksi jual beli terbahagi pula kepada dua pecahan dan di dalamnya pula terbahagi kepada beberapa item. Daripada item-item inilah  apabila berlaku jual beli mesti mengikut syarat yang telah ditetapkan. Kemudiannya dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu yang terdiri daripada emas dan perak. Matawang seperti ringgit dan USD disepakati oleh dalam persidangan Kesatuan Fiqh Sedunia sebagai satu rumpun dengan emas dan perak. Manakala kumpulan satu lagi ialah barli, gandum, tamar dan garam. Riba buyu’ Iaitu ketidaksamaan pada berat atau kuantiti pertukaran dua item ribawi atau pertukarannya di buat secara tangguh. Ia pula terbahagi kepada dua (2) jenis, jenis yang kita nak tumpu adalah :- Riba An-Nasak : Iaitu berjual beli atau bertukar antara dua item Ribawi yang SAMA JENIS secara tangguh (tidak disempurnakan dalam satu masa).  Contohnya: 5 gram emas di jual dengan harga RM200; atau RM3,800 dijual dengan harga USD1,000 secara tangguh. Maka Riba telah berlaku.

 

Riba akan muncul apabila transaksi di atas berlaku secara tangguh. Dalam konteks FOREX, ia pasti berlaku jika FOREX yang digunakan menggunakan ‘Forward Value’  (iaitu  dua pihak (sebagai contoh ; penjual matawang YEN  berjanji dengan penjual matawang US Dollar untuk menukar matawang mereka pada masa hadapan, mereka akan menggunakan nilai pertukaran yang dipersetujui hari ini tanpa mengambil kira nilai sebenar pertukaran pada tarikh pertukaran itu akan dibuat). Dalam hal ini Riba Nasak ini pasti berlaku kerana tangguh.

 

 

Displin yang ditetapkan Shariah ialah kalau berlaku pertukaran antara dua jenis barangan yang sama mesti melalui dua syarat iaitu ‘on the spot’ dan sama berat seperti emas dengan emas, kecuali bertukar barangan yang berlainan item, hanya mewajibkan ‘on the spot ‘ sahaja.

 

“Biasanya orang akan menggunakan nilai yang di panggil ‘spot value’ ‘Tom value’ dan ‘forward value’. Sesiapa yang menggunakan FOREX jenis ‘forward value’ ini, akan berlaku perlanggaran syarat ‘on the spot’. FOREX jenis ‘forward ‘ adalah begini “Katakan saya ada RM 100 juta, maka saya nak beli US Dollar pada bulan hadapan. Maka saya dan penjual USD bersetuju untuk jual beli dilakukan pada bulan depan dengan menggunakan kadar tukaran USD1 = RM 3.7 . Maka pada hari yang ditetapkan pertukaran dibuat dengan kadar yang ditetapkan walaupun mungkin kadar sebanr tika itu adalah USD 1 = RM 4. Itulah Riba namanya. Tetapi jika FOREX yang guna ‘spot value’ , ia harus kerana pertukaran dibuat hari ini dan guna kadar ‘spot’. Maka ia harus kerana tiada tangguh dan tiada jual hutang dengan hutang.” jelas beliau.

         Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa kemungkinan akan ada kesan sekiranya ada di kalangan ahli keluarga yang terlibat dalam pelaburan forex yang terlibat dengan riba. Ini kerana sebagaimana yang diketahui forex  dilaksanakan oleh konvensional iaitu institusi yang tidak diiklankan sebagai beroperasi mengikut syariah dan tidak juga punyai majlis penasihat Shriah yang berwibawa pastinya mencampurkan urusan mereka di antara halal dan haram. Antara kesannya ialah hasil daripada riba tersebut akan menghancurkan keberkatan harta dan hidup seseorang, akan menjadi duit haram sepertimana yang disebut oleh sebuah athar yang bermaksud ‘setiap hasil yang terbina daripada harta yang haram neraka baginya’, anak-anak pula mungkin akan menjadi derhaka dan menjadi keturunan yang tamak

         Di samping itu, Zaharuddin juga memberikan beberapa garis panduan yang mudah bagi orang awam untuk membuat pelaburan yang sah dan halal. Pertama sekali semak sama ada pelaburan perniaagaan yang dibuat mengikut cara Islam atau tidak, apabila hendak melakukan urusan jual beli,  mesti tengok syarat-syarat yang telah ditentukan, sama ada disenaraikan maklumat pelaburan itu mengikut syariah atau tidak,  senarai nama penasihat-penasihat syariah dan mematuhi pada undang-undang yang ditetapkan oleh syariah. Sekiranya semua syarat telah dipenuhi maka pelaburan itu halal untuk berurusniaga. Malah beliau juga memberitahu untuk mengelakkan daripada  tertipu, tengok laman webnya iaitu mesti ada https. Apabila ada ‘s’ ianya merujuk kepada ‘secured’ iaitu ada unsur keselamatan dan pelaburan jenis ini biasanya lebih bertanggungjawab.

         Biarpun kini banyak urusan perniagaan lebih cenderung dilakukan menerusi internet sama ada untuk membuat pelaburan atau promosi kerana ia lebih menjimatkan dan memudahkan, namun secara umumnya perniagaan internet ini adalah harus, tetapi sebagaimana biasa ia mesti memenuhi beberapa syarat untuk perlu dipatuhi bagi kebaikan kedua-dua belah pihak iaitu penjual dan pembeli. Pertama, dalam syarat jual beli mesti ada penjual, pembeli, lafaz kontrak atau akad, ‘sighah’ (isi kontrak) dan aset (benda yang hendak dijual). Kelima-lima syarat-syarat ini mesti dipatuhi terlebih dahulu.

         Keduanya, penjual mestilah memiliki barang tersebut ataupun mampu untuk mewujudkan barang tersebut yang hendak di jual contohnya tukang kasut walaupun kasut itu tidak wujud lagi hanya berpandukan gambar atau katalog, namun sekiranya dia boleh menghasilkan kasut, itu sudah dikira boleh dalam sudut syariah. Penjual juga mestilah orang yang telah baligh ( tidak semestinya Islam), cukup umur, barang-barang yang hendak dijual mestilah barang-barang yang halal yang bukan bersifat lucah, arak, atau perjudian.

         Syarat yang seterusnya ialah akad, iaitu akad boleh dibuat melalui internet dengan menggunakan borang pesanan yang jelas menyebut perincian barangan bagi mengelakkan ‘jahalah’ dan ‘gharar’; Cuma ‘tick’ pada item yang ingin dibeli dan hantar,  itu sudah dikira akad dan diterima dalam syariah.

         Seterusnya ialah sighah iaitu setiap maklumat yang terkandung dalam isi kontrak telah lengkap dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Selain itu, perkara lain yang perlu dijaga ialah sah atau tidak sah sesuatu pelaburan itu bergantung kepada cara bayaran iaitu cara bayaran yang dibuat secara ansuran atau cash yang menggunakan kad kredit. Sekiranya menggunakan kad kreadit mestilah kad kredit Islam dan bagi mereka yang menggunakan kad kredit konvensional, maka wajib menyelesaikan hutang kepada pengelaur kad itu dalam tempoh yang dibenarkan agar tidak dikenakan faedah. Jika tidak, pembelian yang dibuat itu telah melibatkan riba dan ianya haram.

         “Selain itu, kalau barang yang hendak dibeli tergolong dalam kategori (emas, perak dan matawang) ia tertakluk kepada syarat ‘on the spot’. Menurut empat mazhab dan juga Kesatuan Fiqh Sedunia (OIC international Fiqh Academy) telah berbincang dan keputusannya ialah jika beli rantai emas atau cincin emas maka ia terikat dengan syarat penyerahan bayaran dan penerimaan barang secara ‘on the spot’, jika tidak ia adalah riba. Hasilnya pembelian emas dan perak melalui internet adalah tidak harus kerana kelewatan penjual menyerahkan emas kepada pembeli. Demikian juga pembelian emas yang dibayar secara ansuran. ” ujarnya.

         Katanya lagi, bagi pelabur-pelabur yang ingin melabur dalam syarikat-syarikat, mereka boleh mengenalpasti senarai nama-nama syarikat yang beroperasi secara halal sepertimana yang terdapat dalam senarai bursa saham Malaysia di akhbar-akhbar harian yang ditandakan dengan symbol bintang. Tanda symbol itu menandakan . syarikat pelaburan itu mendapat pengiktirafan daripada Majlis Penasihat Syariah dan Suruhanjaya Sekuriti.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s