FireFly sedia penerbangan semurah RM9

Oleh Rozaman IsmailPUTRAJAYA 14 Mac – Rakyat Malaysia kini berpeluang menggunakan perkhidmatan penerbangan komuniti berstruktur tambang murah apabila syarikat baru FireFly memulakan operasinya pada 2 April depan dengan menawarkan tambang semurah RM9 untuk ke beberapa destinasi di Malaysia dan Thailand.

Penerbangan komuniti berkonsepkan tambang murah itu akan dikendalikan oleh FlyFirefly Sdn. Bhd. (FireFly), anak syarikat Malaysia Airlines System (MAS) yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Perkhidmatan FireFly merangkumi empat laluan domestik dan dua laluan antarabangsa iaitu Pulau Pinang-Langkawi, Pulau Pinang-Kota Bharu, Pulau Pinang-Kuala Terengganu, Pulau Pinang-Kuantan dan Pulau Pinang-Phuket serta Pulau Pinang-Koh Samui di Thailand.

Kecuali perkhidmatan MAS antara Pulau Pinang dan Langkawi, tidak ada perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat-syarikat penerbangan sedia ada ke laluan yang dicadangkan oleh FireFly.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy berkata, kekerapan perkhidmatan bagi laluan domestik FireFly adalah sebanyak 14 kali seminggu manakala laluan antarabangsa pula tujuh kali seminggu.

Beliau berkata, perkhidmatan FireFly dijangka memantapkan lagi perkhidmatan pengangkutan udara negara selain meningkatkan kemasukan pelancong ke destinasi pelancongan di utara Semenanjung selaras dengan usaha kerajaan menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2007.

‘‘FireFly juga akan membantu mencapai sasaran kemasukan kira-kira 20 juta pelancong ke Malaysia menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sidang akhbar pasca-Kabinet di sini hari ini.

Pada majlis itu, Kong Choy turut menyerahkan lesen perkhidmatan udara (ASL) FireFly kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Idris Jala.

Menurut Kong Choy, dalam tempoh jangka panjang, perkhidmatan yang disediakan oleh FireFly akan berkembang dan memberi sumbangan ke arah memajukan kawasan pertumbuhan serantau seperti Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Menurutnya, pembukaan IMT-GT bukan sahaja bertujuan meningkatkan pergerakan pelancong tetapi membuka luas peluang ekonomi bagi kesemua negara terlibat.

‘‘Perkhidmatan pengangkutan udara di Malaysia bertujuan memberi peluang kepada para pengguna mendapatkan perkhidmatan terbaik dengan kadar tambang berpatutan.

‘‘Pemilihan Pulau Pinang sebagai pangkalan pula akan mengukuhkan lagi kedudukan negeri itu sebagai hab penerbangan di wilayah utara dan langkah tersebut sangat penting dalam membantu pertumbuhan ekonomi negeri itu,” katanya.

Pemberian lesen perkhidmatan udara kepada FireFly menjadikan enam lesen telah dikeluarkan kepada syarikat-syarikat penerbangan di negara ini iaitu MAS, AirAsia, Transmile Air, Fly Asian Xpress dan Berjaya Air.

Sementara itu, Idris berkata, buat permulaan penerbangan komuniti berkonsepkan tambang murah itu akan menggunakan dua buah pesawat jenis Fokker dan tambang yang ditawarkan sangat menarik bermula dengan RM9 yang disifatkannya bersamaan ‘harga nasi kandar’.

Mengenai tenaga kerja, beliau berkata, untuk permulaan sebahagian pekerja FireFly dipinjamkan daripada MAS manakala selebihnya tenaga kerja baru yang akan bekerja mengikut terma, keadaan dan pengurusan kerja yang berbeza daripada MAS.

‘‘Pengumuman terperinci mengenai struktur pengurusan FireFly termasuk siapa Pengarah Urusannya akan dibuat 17 Mac ini di Pulau Pinang,” katanya.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s