Petua Mengesan Banjir

Artikel ini diambil daripada blog cikgu Hamzah Mohamed, beliau menceritakan petua dan pengalaman beliau mengesan dan menghadapi banjir besar pada tahun 1970. Artikel ini juga pernah diterbitkan dalam akhbar Berita Minggu pada 5 Oktober 1975.

Image Hosting by Picoodle.com

Angin Timur Laut bertiup dari Laut China Selatan sedang bermula. Masa inilah juga yang dikenali sebagai musim tengkujuh. Secara automatis kita akan terbayang bagaimana lebatnya hujan yang akan turun. dan yang paling membimbangkan ialah berlakunya  banjir yang melibatkan nyawa dan harta-benda, istimewa bagi negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung.

Kejadian banjir setiap tahun adalah perkara biasa kerana ia sudah menjadi peristiwa tahunan, tetapi jika berlaku banjir besar seperti yang telah berlaku dalam tahun 1970 dan 1971 lalu, itu adalah satu soal lain pula. Tetapi pengalaman banjir besar tahun 1970 dan 1971 (kira-kira 40 tahun selepas Bah Besar 1926), orang begitu takut sekali bila menghadapi musim tengkujuh.

Beberapa buah negeri telah mula bersiap-siap bagi menghadapi banjir tahun ini. Begitu juga beberapa alat pengesan banjir telah dipasang di negara kita untuk memberi amaran dan maklumat kepada orang ramai jika berlakunya banjir. Walaupun pengetahuan sains dan teknologi telah banyak memberi sumbangan kepada kesejahteraan hidup umat manusia, tetapi kita tidak harus melupakan atau menganggap sepi akan beberapa petua atau tanda yang menjadi pegangan orang-orang  terdahulu daripada kita.

Daripada pengalaman saya sendiri, dalam banjir tahun 1970 dan awal tahun 1971, serta pemerhatian saya selepas itu dalam tahun 1972, 1973 dan 1974, saya merasakan bahawa beberapa petua atau tanda-tanda itu boleh dijadikan panduan tentang kedatangan banjir. Petua atau tanda yang pertama yang telah diberitahu kepada saya ialah dengan memerhatikan kegiatan semut di rumah-rumah kita. Menurut tanda ini –lama sebelum banjir besar itu berlaku –semut-semut yang biasanya hidup dan bersarang di tanah atau pun di daam tanah akan keluar dengan banyaknya beramai-ramai memanjat tiang dan dinding rumah kita. Semut itu akan terus naik ke atas dan menuju pokok-pokok yang berhampiran rumah kita. Semut ini ialah dari jenis semut hitam, akan berbuat begitu sampai berbulan-bulan lamanya dengan tiada putusnya berpindah sambil membawa telur dan makanan mereka. Peristiwa ini telah saya alami sendiri, tetapi waktu itu saya belum lagi mengetahui apakah alamatnya.

Setelah banjir 1970 kemudian diikuti oleh banjir 1971 yang kecil sedikit, peristiwa semut pindah itu berulang lagi. Dalam banjir tahun 1971, semut-semut itu hanya memanjat dan membuat sarang di dalam laci-laci meja dan almari. Rupanya banjir tahun itu hanya mencecah lantai sahaja. Menurut kajian sains semut adalah sejenis serangga yang amat sensitif terhadap perubahan yang berlaku disekitarnya. Jadi, tidak hairanlah jika semut-semut itu telah dapat mencium ‘kehadiran’ air yang berlebihan di sekitar sarangnya di dalam tanah itu menyebabkan mereka berpindah semuanya sebelum banjir berlaku.

Petua atau tanda kedua yang juga telah saya perhatikan ialah dengan melihat bintang Belantik. Menurut seorang tua yang tinggal di Kampung Tanjung Belengu, Temerloh, Encik Yusuf, berumur lebih kurang 70 tahun berkata, jika banjir akan berlaku kedudukan bintang Belantik ini akan kelihatan tersangat rendah di ufuk hampir dengan kaki langit. Jika kedudukan bintang ini tinggi, insyaAllah, banjir besar tidak akan berlaku dalam tahun itu. Daripada pengalaman saya selepas itu, tanda tersebut adalah benar setakat ini.

Petua atau tanda ketiga ialah ketika kejadian banjir itu sudah terlalu hampir. Tandanya ialah apabila kedengaran suatu bunyi seperti letupan yang kuat yang menggegarkan yang dipanggil “Kepala Air’. Bunyi ini menandakan kepala air telah pecah dan banjir besar sudah pasti berlaku. Dari apa yang saya alami dalam banjir tahun 1970, memang ada kedengaran bunyi apa yang dinamakan “Kepala Air ” itu.

Tanda-tanda yang saya sebutkan di atas itu adalah antara beberapa tanda mengikut kepercayaan orang tua-tua. Mungkin ada banyak lagi tanda seumpama itu. Sebagai petua atau tanda-tanda, tidaklah saya mendakwa bahawa semuanya yang tersebut itu seratus-peratus benar dan boleh dipercayai, tetapi sekurang-kurangnya ia boleh menjadi panduan kepada kita semua ketika menghadapi musim tengkujuh yang akan datang ini.ٱ

(Artikel ini terbit dalam akhbar Berita Minggu, Ahad, 5 Oktober 1975 (29 Ramadhan, 1395; adalah artikel pertama saya)

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s