Tuntutan Terbaru Ceupacs

Honorarium ganti bonus dijangka bincang awal Januari

PUTRAJAYA, 23 Dis. — Permohonan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk mendapatkan honorarium atau sagu hati bagi menggantikan bonus kepada setiap kakitangan awam dijangka dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan awal bulan depan.

Presidennya Omar Osman memberitahu Bernama hari ini, Cuepacs sedang menunggu kepulangan Mohd Sidek yang kini berada di Mekah kerana menunaikan fardu Haji.

Omar berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini memberikan lampu hijau kepada Cuepacs untuk membincangkan perkara itu dengan Mohd Sidek.

Pada 10 Sept lepas, Cuepacs menghantar memorandum memohon agar kerajaan mempertimbangkan semula pemberian bonus ataupun sebagai gantinya honorarium RM2,000 kepada setiap kakitangan awam tanpa mengira gred.

Di samping itu, pemberian itu akan dapat meringankan beban kakitangan awam berikutan kenaikan harga barangan. Jumlah keseluruhan kakitangan awam ialah 1.2 juta dengan 850,000 orang daripadanya merupakan kakitangan sokongan yang berpendapatan rendah.

Omar berkata walaupun Cuepacs memohon RM2,000 bagi setiap kakitangan awam namun kesatuan itu akur kepada keputusan kerajaan mengikut kemampuannya.

Beliau berkata turut dibincangkan dalam pertemuan itu kelak ialah permohonan bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan awam kepada 60 tahun berbanding 56 tahun sekarang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Cuepacs akan mengadakan mesyuarat khas pada 28 Dis ini bagi membincangkan cara untuk membantu kakitangan awam yang terlibat dengan banjir di negeri yang teruk terjejas, termasuk Pahang.

“Kita telah mendapat maklum balas daripada ahli dari Pahang yang mahukan badan ini memberi bantuan kepada kakitangan awam yang terlibat,” katanya.

Sebelum ini, kesatuan telahpun menghulurkan bantuan kepada kakitangan awam yang terlibat dengan banjir di Johor.

Selain itu, Omar berkata Cuepacs juga berharap agar peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) ditangguhkan sehingga selesai masalah banjir.

“Setiap jabatan harus menangguh sementara PTK bagi membolehkan warga awam yang terlibat dengan banjir menumpukan perhatian terhadap keluarga mereka,” katanya.- BERNAMA

CUEPACS yakin diberi sagu hati RM2,000

Oleh S.ANAND KUMAR

KUALA LUMPUR 23 Dis. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) percaya rayuannya untuk mendapatkan sagu hati sebanyak RM2,000 bagi menggantikan bonus dapat meringankan beban 850,000 kakitangan awam yang berpendapatan rendah.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, kesatuan sekerja itu akan membincangkan rayuan tersebut dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan pada awal bulan depan.

“Kita sedang menunggu kepulangan Ketua Setiausaha Negara yang kini berada di Tanah Suci Mekah kerana mengerjakan haji,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Omar berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini penghantaran memorandum oleh kongres itu kepada kerajaan pada 10 September lalu berhubung pembayaran honorarium menggantikan bonus.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut memberikan reaksi positif berhubung perkara itu dan meminta kesatuan sekerja itu berbincang mengenai rayuan berkenaan dengan Mohd. Sidek.

CUEPACS bagaimanapun menegaskan bahawa kesatuan sekerja induk kakitangan awam itu tidak berniat untuk mendesak kerajaan berhubung perkara tersebut.

Omar menjelaskan, beliau memahami kerajaan perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk soal kewangan negara sebelum meluluskan pemberian sagu hati itu.

Pihaknya berharap kerajaan dapat memberi honorarium antara RM1,000 hingga RM1,500 jika permohonan untuk pembayaran honorarium sebanyak RM2,000 ditolak.

“CUEPACS percaya honorarium ini amat penting terutama kepada kakitangan awam kerajaan yang berpendapat rendah.

“Daripada 1.2 juta anggota sektor awam, kira-kira 850,000 merupakan kakitangan berpendapatan rendah.

“Sekurang-kurangnya ia (bayaran sagu hati daripada kerajaan) dapat membantu mereka membeli pakaian sekolah dan keperluan anak-anak yang akan menempuh sesi baru persekolahan pada tahun depan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s